GENEVA: Israel menuduh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpakat dengan Hamas apabila mengabaikan bukti mengenai dakwaan kumpulan itu menggunakan hospital di Semenanjung Gaza sebagai pangkalan.
Duta Israel, Meirav Eilon Shahar memberitahu lembaga eksekutif WHO bahawa tidak mungkin ada penjagaan kesihatan di wilayah Palestin apabila Hamas membenamkan dirinya di hospital dan menggunakan perisai manusia.
“Dalam setiap hospital yang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) gempur di Gaza, kami menemui bukti penggunaan untuk tujuan ketenteraan Hamas.
“Ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa WHO memilih untuk mengabaikannya berkali-kali. Ini bukan ketidakcekapan; ia adalah pakatan sulit,” katanya.
Dalam hantaran di laman X, duta itu menegaskan terdapat bukti Hamas menggunakan hospital.
Tentera Israel mendakwa Hamas mempunyai terowong di bawah hospital dan menggunakan kemudahan perubatan sebagai pusat arahan yang dinafikan kumpulan pejuang itu.
WHO sebelum ini berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.
Wakil WHO untuk wilayah Palestin yang diduduki, Richard Peeperkorn memberitahu wartawan pada 21 Disember lalu, pihaknya yang melakukan misi lawatan tidak menemui apa yang didakwa Israel di lapangan.
“Kami tidak berada pada kedudukan untuk menegaskan bagaimana mana-mana hospital digunakan. Peranan WHO adalah untuk memantau, menganalisis dan melaporkan. Kami bukan sebuah organisasi yang menyiasat,” tegasnya.
Namun, Eilon Shahar mendakwa agensi kesihatan PBB tahu tebusan ditahan di hospital dan Hamas beroperasi di dalamnya.
“Walaupun apabila dibentangkan dengan bukti konkrit tentang apa yang berlaku di bawah tanah dan di atas tanah, WHO memilih untuk menutup mata, membahayakan mereka yang sepatutnya dilindungi,” katanya.
Duta itu turut menuduh pasukan Hamas menguruskan operasi dari Hospital Indonesia dan mendakwa IDF menemui lima tebusan yang dibunuh di dalam terowong yang digali di bawahnya.
Beliau berkata, tebusan dibawa melalui hadapan hospital kanak-kanak Al-Rantisi pada 7 Oktober lalu dan kemudian ditahan di ruangan bawah tanah.
“Di Hospital Kamal Adwan, 80 pejuang Hamas menyerahkan diri kepada tentera IDF dan senjata ditemui tersembunyi di dalam inkubator”, katanya.
Katanya lagi, Hamas melepaskan bom tangan roket ke arah tentera Israel dari Hospital Al-Quds dan sejumlah besar senjata dan peluru ditemui di dalamnya.
Menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, serangan Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 25,700 orang dengan 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP