GAZA: Israel mahu melawan kes difailkan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendakwa rejim Zionis itu melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Israel, Eylon Levy dalam satu kenyataan.
Lapor BBC, Eylon berkata, Israel mahu berbuat demikian untuk membantah tuduhan genosid yang dikemukakan oleh Afrika Selatan.
Minggu lalu, Afrika Selatan memfailkan permohonan memulakan prosiding terhadap Israel di hadapan ICJ.
Dalam permohonan kepada ICJ, Afrika Selatan mendakwa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid.
Malah, permohonan itu turut merujuk dakwaan bahawa Israel terlibat dan berisiko untuk terus melakukan lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Jurucakap Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Clayson Monyela memaklumkan ketika ini peguam kerajaan sedang bersiap sedia untuk perbicaraan kes yang akan diadakan pada 11 dan 12 Januari depan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan genosid di Gaza.
Sebaliknya, Netanyahu menyatakan Israel mempamerkan moraliti yang tiada tandingannya dalam perang Gaza.
Afrika Selatan sejak dahulu lagi lantang memperjuangkan isu Palestin.
Malah, Afrika Selatan juga berulang kali mengutuk kekejaman Israel sejak konflik tercetus di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 22,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak konflik bermula.