Israel kembali serang Gaza City

Israel kembali serang Gaza City

SERPIHAN batu nisan bertaburan di tanah perkuburan utama Al-Shaaf di kejiranan al-Tuffah di timur Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel kembali melancarkan serangan ke atas bandar terbesar Gaza, beberapa minggu selepas berundur dari kawasan itu.

Di utara Gaza, penduduk berkata, serangan udara ke atas kawasan kejiranan di seluruh Gaza City membunuh dan mencederakan ratusan orang. 

Ketika kereta kebal Israel membedil kawasan timur bandar itu, kapal tentera laut rejim Zionis turut dilaporkan melepaskan puluhan tembakan ke kawasan tepi pantai di sebelah barat.

Israel lewat tahun lalu mendakwa sudah menyelesaikan sebahagian besar operasinya di utara Gaza sebelum menyasarkan kekuatannya di selatan wilayah terkepung itu. 

Namun serangan bertalu-talu kembali di utara di Gaza, di mana penduduk melaporkan pertempuran senjata yang sengit berlaku berhampiran Hospital Al-Shifa, sekali gus menunjukkan bahawa perang seakan tidak akan berakhir.

Menurut pegawai kesihatan dan kesatuan wartawan, antara yang menjadi korban serangan terbaharu itu termasuk dua wartawan Palestin, Essam El-lulu dan Hussein Attalah.

Hamas melancarkan roket pertamanya selama beberapa minggu ke bandar-bandar Israel, membuktikan kumpulan pejuang yang mengendalikan Gaza masih mempunyai keupayaan untuk menyerang selepas hampir empat bulan perang.

Tentera Israel mendakwa menembak jatuh enam daripada 15 roket tersebut namun tiada laporan mengenai sebarang kemalangan jiwa di kawasan yang diduduki walaupun siren serbuan udara dan letupan pemintasan dibunyikan.

Penduduk Gaza berkata, keganasan di utara seumpama satu ejekan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) minggu lalu yang menyeru Israel untuk meningkatkan usaha membantu orang awam.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian rakyat Palestin meningkat kepada 26,637 orang dengan ribuan lagi mayat berkemungkinan berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah.

“Perang berterusan dengan cara yang lebih kotor,” kata penduduk Gaza City dan aktivis hak asasi manusia Palestin, Mustafa Ibrahim yang dipindahkan bersama keluarganya di Rafah berhampiran sempadan selatan Mesir.

Israel dilaporkan turut mengarahkan pemindahan baharu kawasan paling ramai penduduk di Gaza City.

Tetapi orang awam mengadu tindakan rejim Zionis memutuskan talian komunikasi menyebabkan ramai penduduk gagal menerima amaran awal hingga menjadi mangsa bedilan bom.

Israel berulang kali menuduh Hamas bertanggungjawab atas kematian orang awam kerana pejuangnya beroperasi dalam kalangan mereka walaupun dinafikan kumpulan berkenaan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya