GAZA CITY: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan Israel harus mengawal sepenuhnya koridor sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir untuk memastikan tiada lagi aktiviti ketenteraan di kawasan berkenaan.
Pemimpin itu menyatakan demikian ketika tentera Israel mara lebih jauh ke tengah dan selatan Gaza.
Netanyahu dalam satu sidang akhbar memaklumkan Koridor Philadelphi atau lebih tepat dikenali sebagai titik penutup selatan Gaza mesti berada dalam kawalan Israel.
“Ia mesti ditutup. Adalah jelas bahawa sebarang pendekatan lain tidak akan memastikan penghapusan aktiviti ketenteraan yang kami cari,” katanya.
Bagaimanapun, Netanyahu tidak mengulas lanjut sekiranya tindakan itu berjaya, adakah ia menandakan pengunduran Israel dari Gaza, seperti yang berlaku pada 2005.
Perkembangan pada waktu itu menyaksikan enklaf berkenaan terletak di bawah kawalan eksklusif Israel selepas bertahun-tahun ditadbir oleh kumpulan pejuang Hamas.
Kenyataan Netanyahu mengenai zon penampan dikeluarkan ketika tentera Israel giat meneruskan serangan yang kononnya untuk mempertahankan diri, dijangka berlarutan beberapa bulan lagi.
Pertempuran tertumpu di al-Bureij, Nuseirat, Maghazi dan Khas Younis.
Menurut penduduk di kawasan itu, serangan udara intensif mengakibatkan hospital dipenuhi dengan rakyat Palestin yang cedera.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, bedilan bom membunuh 165 orang dan mencederakan 250 yang lain di Gaza sejak 24 jam lalu.
Keadaan di Hospital Nasser dekat Khan Younis menunjukkan kemudahan perubatan terbesar di selatan wilayah itu sesak.
Terdapat video Bulan Sabit Merah memaparkan anggota paramedik membawa bayi kecil dilitupi habuk masuk ke dalam wad sambil menjerit ‘ada pernafasan, ada pernafasan’.
Hampir kesemua 2.3 juta penduduk Gaza dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing rentetan perang Israel-Palestin selama 12 minggu sejak ia meletus pada 7 Oktober lalu. – REUTERS