Israel gagal sangkal tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Israel gagal sangkal tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

DERETAN mayat penduduk Palestin ditutupi kain memenuhi pekarangan sebuah hospital di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Israel gagal menyangkal tuduhan melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang dikemukakan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola kepada pemberita di luar pekarangan ICJ.

Kenyataan itu menyusul semasa hari kedua perbicaraan selepas Israel diminta membela diri atas pertuduhan melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Israel gagal menyangkal dakwaan Afrika Selatan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

“Kami percaya dan tetap yakin bahawa semua fakta serta bukti dikemukakan mengenai Israel amat jelas melanggar Konvensyen Genosid,” kata Lamola yang mengetuai delegasi Afrika Selatan di The Hague.      

ICJ menyambung semula sesi perbicaraan bagi mendengar hujah Israel terhadap tuduhan Afrika Selatan. 

Pada hari pertama sesi perbicaraan, Afrika Selatan meminta hakim ICJ mengenakan langkah kecemasan dengan mengarahkan Israel menghentikan serta-merta serangan ke atas Gaza.

Jelas Afrika Selatan, serangan udara dan darat Israel sudah memusnahkan sebahagian besar wilayah terkepung itu, selain lebih 23,700 penduduk terbunuh setakat ini. 

Israel ketika membela diri pada hari kedua perbicaraan, menolak sekeras-kerasnya tuduhan Afrika Selatan dan memohon ICJ menggugurkan dakwaan pembunuhan beramai-beramai penduduk Palestin.

Malah, Israel turut menyifatkan dakwaan Afrika Selatan sebagai diputarbelitkan. 

Sementara itu, Lamola turut mengecam tuduhan Israel yang menggelar hujah Afrika Selatan sebagai `mengelirukan dan berat sebelah’.

Jelas beliau, kebanyakan hujah dikemukakan negaranya di ICJ termasuk mengenai bantuan kemanusiaan dan kehilangan tempat tinggal penduduk juga turut dinyatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).   

Bulan lalu, Afrika Selatan memfailkan permohonan memulakan prosiding terhadap Israel di hadapan ICJ.

Dalam permohonan kepada ICJ, Afrika Selatan mendakwa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid.

Permohonan itu turut merujuk dakwaan bahawa Israel terlibat dan berisiko untuk terus melakukan lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya