GAZA: Dua kereta kebal Israel membedil kemudahan Pusat Latihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Yunis yang menempatkan pelarian Palestin.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, serangan berkenaan menyebabkan berlaku korban besar-besaran.
UNRWA turut mengutuk serangan rejim Zionis itu yang secara terang-terangan mengabaikan peraturan asas perang.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan rejim Zionis yang sebaliknya menuduh serangan itu dilancarkan sendiri oleh pasukan pejuang Hamas.
Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza, Thomas White berkata, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 75 cedera dalam serangan di bangunan yang menempatkan lebih 800 orang.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, jumlah kematian dikhuatiri akan meningkat.
Menurut beliau, Pusat Latihan Khan Yunis merupakan salah satu pusat perlindungan terbesar UNRWA yang melindungi lebih 40,000 orang.
Katanya, kawasan halaman penempatan itu sudah ditanda dengan jelas sebagai kemudahan PBB dan koordinatnya dikongsi dengan pihak berkuasa Israel seperti yang dilakukan untuk semua kemudahan UNRWA.
“Di sebalik semua penyelarasan ini, realitinya ialah tentera Israel tidak memenuhi kewajipannya untuk melindungi orang awam dan menunjukkan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya apabila beroperasi di kawasan ramai pelarian.
“Keadaan ini menyukarkan lagi usaha mendapatkan rawatan perubatan kepada pelarian di sini ketika hospital utama di Gaza dan bandar Khan Yunis beroperasi pada kapasiti yang sangat terhad,” tegasnya dipetik BBC.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Vedant Patel berkata, negara itu kesal dengan serangan tersebut.
Katanya, orang awam, kemudahan PBB dan pekerja kemanusiaan mesti dilindungi supaya mereka boleh terus memberikan bantuan untuk menyelamatkan nyawa.
Washington turut melahirkan kebimbangan dan meminta Israel mendapatkan maklumat mengenai kejadian semasa konflik tetapi jarang secara terbuka mengkritik tindakan rejim Zionis itu.
Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di Khan Yunis dan bandar-bandar di utara dan selatannya.