Iran kerah kapal perang ke Laut Merah

Iran kerah kapal perang ke Laut Merah

KAPAL Alborz. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kapal perang Alborz milik Iran dilaporkan memasuki Laut Merah melalui Selat Bab al-Mandeb yang strategik.

Iran mengerahkan kapal perang itu ketika ketegangan semakin memuncak di laluan air yang penting di peringkat global.   

“Kapal pemusnah Alborz sudah memasuki Laut Merah dengan melalui laluan air Bab al-Mandeb di hujung selatan Laut Merah, menghubungkan Teluk Aden di Lautan Hindi,” lapor agensi berita Tasnim.

Jelas laporan agensi itu, kapal armada tentera laut Iran beroperasi di kawasan itu untuk beberapa tujuan antaranya `menjaga laluan perkapalan dan menghalau lanun’ sejak tahun 2009.

Disember tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) menubuhkan pasukan petugas tentera laut gabungan 10 negara untuk menamatkan serangan peluru berpandu dan dron kumpulan Houthi ke atas kapal komersial yang transit di Laut Merah.

Susulan serangan itu, beberapa syarikat perkapalan bertindak menangguhkan operasi pelayaran melalui perairan itu.  

Britain, Perancis, Bahrain dan Itali antara negara yang menyertai `inisiatif keselamatan multinasional itu’.

Kumpulan Houthi sebelum ini mendakwa melakukan serangan itu bagi mempamer solidariti mereka kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat pengeboman berterusan Zionis ke atas Gaza.

Laporan berita Tasnim itu disiarkan sehari selepas helikopter tentera laut AS menembak kumpulan Houthi yang cuba merampas kapal kargo di perairan Yaman sehingga 10 anggota kumpulan itu terbunuh.  

Ia juga disiarkan selepas komander tertinggi Pengawal Revolusi Iran di Syria, Sayyed Razi Mousavi terbunuh dalam serangan udara Israel di luar Damsyik minggu lalu.

Sementara itu, wartawan Al Jazeera, Resul Serdar melaporkan dari  Djibouti menyifatkan tindakan Iran menghantar kapal perang ke kawasan perairan itu `bukan perkembangan baharu’. 

“Dari semasa ke semasa, terdapat kapal perang Iran yang beroperasi di kawasan ini.

“Malah, perairan ini juga terbuka untuk kapal perang Iran sepertimana kepada kebanyakan negara,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya