BEIJING: Seorang pempengaruh atau influencer dari China sanggup menipu dengan berpura-pura hamil lima bulan untuk mencari calon suami dalam satu acara pencarian jodoh.
Wanita berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Chenxiaosi di laman Douyin, berbuat demikian demi menarik lebih ramai pengikut di media sosial.
Lapor South China Morning Post, Chenxiaosi dari wilayah Sichuan, barat daya China melakukan penipuan itu dengan menampakkan benjolan di bahagian perutnya supaya kelihatan hamil.
Dia kemudian menyertai acara pencarian jodoh tempatan yang popular di China.
Dalam satu video, Chenxiaosi dilihat sedang memegang sehelai kertas yang tertera `saya berusia 32 tahun, bujang, tiada harta dan kereta serta hamil lima bulan’.
Kertas itu turut menyenaraikan kriteria calon suami yang dicarinya.
“Dia harus mempunyai rumah pangsa dan kereta, gaji bulanan lebih 20,000 yuan (RM13,212), serta mesti melayan saya dan anak saya dengan baik,” menurut kertas itu.
Dalam video tersebut, Chenxiaosi juga dilihat sedang bercakap dengan seorang lelaki yang menunjukkan minat kepadanya.
“Meskipun anak ini bukan milikmu, saya milikmu. Jika anda mencintai saya, anda tidak akan peduli sama ada anak ini adalah milik kamu,”‘ katanya.
Tanpa teragak-agak, lelaki itu memberitahu bahawa dia mempunyai anak lelaki berusia 40 tahun yang mungkin sesuai dengannya.
Namun, apabila lelaki itu memberitahunya gaji bulanan anaknya antara 7,000 hingga 8,000 yuan (RM4,624 hingga RM5,284), wanita itu terkejut dan menolaknya dengan melambai tangannya.
“Tidak mungkin saya boleh menerimanya. Saya tidak mempertimbangkan lelaki yang berpendapatan kurang daripada 20,000 yuan (RM13,212), kerana wang itu tidak mampu menyara anak saya dengan secukupnya,” katanya kepada lelaki itu.
Sebaik sahaja klip video itu menjadi tular di media sosial, orang ramai berasa curiga dan mempersoalkan kesahihannya.
Sementara itu, pihak berkuasa di Weibo memaklumkan bahawa Chenxiaosi mengakui reka cerita untuk menarik perhatian di media sosial.
Jelas polis, wanita itu kini sedang disiasat.
Akaun media sosial Chenxiaosi sudah ditutup dan tindakan pempengaruh itu mencetuskan kritikan meluas di media sosial.