WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan seorang individu yang cuba menceroboh White House, dengan memandu kenderaannya dan merempuh pos pemeriksaan luar kompleks kediaman presiden itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perkhidmatan Rahsia.
Ketika kejadian itu, Presiden Joe Biden dilaporkan berada di luar kawasan.
Bagaimanapun, pegawai keselamatan tidak mengesahkan sama ada ia merupakan kemalangan jalan raya atau bermotifkan serangan.
“Sejurus sebelum pukul 6 petang (waktu tempatan), sebuah kenderaan merempuh pos pemeriksaan luar di kompleks White House.
“Individu itu sudah ditahan dan kami sedang menyiasat punca serta cara pelanggaran itu berlaku,” kata jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS, Anthony Guglielmi di aplikasi X.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebelah timur laut kompleks itu.
Menurut Guglielmi, ia mungkin disebabkan oleh masalah trafik di 15th Street dan Pennyslvania Avenue.
“Kenderaan terbabit sudah dialihkan oleh polis Washington dan pemandu masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. – AFP