NEW DELHI: Agensi angkasa lepas India berjaya melancarkan roket dari pelabuhan angkasa Sriharikota dalam usaha membantu saintis meningkatkan pengetahuan mereka tentang lubang hitam di ruang angkasa.
Menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) dalam catatan di laman sosial X, roket membawa Satelit Polarimeter X-ray (XPoSat) dilancarkan dari pelabuhan angkasa Sriharikota Isnin lalu.
“Tahun 2024 diangkat dengan megah. XPoSat dalam keadaan baik dan penjanaan kuasa sudah dimulakan,” katanya.
Pelancaran itu merupakan misi kedua mengkaji fenomena lubang hitam selepas Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) melancarkan usaha serupa pada tahun 2021.
Lubang hitam ialah kawasan di angkasa di mana jirim runtuh dengan tarikan graviti yang begitu kuat sehingga cahaya tidak dapat mengelaknya.
Ketua ISRO, Somanath berkata, kenderaan PSLV-C58 berjaya meletakkan satelit berkenaan ke orbit dengan baik.
“Dari sudut ini, orbit PSLV akan dikurangkan kepada orbit yang lebih rendah, di mana peringkat atasnya akan menjalankan eksperimen dengan sembilan muatan di atas kapal dan proses itu akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Pada tahun 2023, India melancarkan misi suria pertamanya, Aditya-L1 dan meraikan kejayaan pendaratan Chandrayaan-3 di kutub selatan bulan.
ISRO kini sedang berusaha untuk melancarkan misi manusia menjelang 2025, dengan matlamat menghantar tiga angkasawan ke orbit bumi dan membawa mereka kembali selepas tiga hari.
“2024 akan menjadi tahun untuk melakukan persediaan misi Gaganyaan,” kata Somanath.-AGENSI