THE HAGUE: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan keputusan penting yang dinantikan dunia terhadap kes genosid Israel di Gaza esok.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague berkemungkinan mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza, yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Afrika Selatan membawa Israel ke mahkamah, mendakwa rejim itu melanggar Konvensyen Genosid PBB yang ditandatangani pada 1948 sebagai respons dunia terhadap Holokaus.
Pretoria mahu ICJ mengeluarkan apa yang dipanggil langkah sementara dan perintah kecemasan untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada kemungkinan pelanggaran konvensyen tersebut.
Perintah dari ICJ dalam pertikaian antara negara mengikat secara sah dan tidak boleh dirayu.
Bagaimanapun, mahkamah mempunyai sedikit kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini membayangkan bahawa beliau tidak akan merasa terikat dengan mana-mana perintah ICJ.
“Tiada siapa yang akan menghalang kami, bukan The Hague, bukan Axis of Evil dan tidak ada orang lain,” katanya pada 14 Januari lalu, merujuk kepada kumpulan paksi penentangan yang bersekutu dengan Iran di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.
Mahkamah tersebut dilaporkan hanya akan memutuskan rayuan Afrika Selatan untuk langkah kecemasan, bukan mengenai isu asas sama ada Israel boleh melakukan pembunuhan beramai-ramai yang akan mengambil masa bertahun-tahun.
Keputusan ICJ terhadap Israel akan meningkatkan tekanan politik ke atas negara itu, dengan kebanyakan negara membuat spekulasi ia boleh dijadikan alasan untuk mengnakan sekatan.-AFP