ADEN: Pihak berkuasa Houthi Yaman mengarahkan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain serta organisasi kemanusiaan lain yang berpangkalan di Sanaa untuk meninggalkan negara itu dalam tempoh sebulan.
Arahan itu itu dibuat menerusi surat yang dihantar oleh kementerian luar Houthi kepada pemangku Penyelaras Kemanusiaan PBB di Yaman, Peter Hawkins.
“Kementerian ingin menegaskan bahawa anda mesti memaklumkan pegawai dan pekerja dengan kewarganegaraan AS dan Britain untuk bersedia meninggalkan negara ini dalam tempoh 30 hari,” jelas surat itu.
Surat itu turut mengarahkan pertubuhan asing untuk tidak mengambil warga AS dan Britain dalam sebarang operasi di Yaman.
Perunding terkemuka Houthi, Mohammed Abdulsalam mengesahkan kesahihan surat itu.
AS dan Britain melancarkan serangan terhadap sasaran ketenteraan kumpulan bersekutu Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.
Kerajaan AS minggu lalu juga mengembalikan Houthi ke dalam senarai kumpulan pengganas ketika Washington cuba membendung serangan ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah.
Houthi berkata, serangan mereka adalah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin ketika Israel menyerang Gaza.
Pergerakan Houthi menguasai sebahagian besar Yaman selepas hampir sedekad perang menentang pakatan yang disokong AS dan diketuai Arab Saudi.
Tentera AS dan Britain dilaporkan menyasarkan tapak simpanan bawah tanah Houthi serta keupayaan peluru berpandu dan pengawasannya Selasa lalu.
Tentera Houthi Yaman membalas serangan itu dengan melepaskan tiga peluru berpandu balistik anti-kapal ke arah kapal kontena berbendera AS milik syarikat M/V Maersk Detroit ketika sedang transit di Teluk Aden kelmarin.-REUTERS