MUMBAI: Satu video memaparkan hartawan dan mogul hartanah, Niranjan Hiranandani menaiki kereta api tempatan di Mumbai, tular di laman media sosial baru-baru ini.
Lapor NDTV, pengasas bersama dan pengarah urusan Kumpulan Hiranandani itu berkongsi video perjalanan singkatnya di Instagram pada Jumaat lalu.
Video berkenaan menunjukkan hartawan berusia 73 tahun itu sedang menunggu di platform kereta api bersama penumpang lain sebelum menaiki koc berhawa dingin.
Dalam rakaman video itu, beberapa pekerja syarikat juga dilihat mengiringi Niranjan semasa menggunakan pengangkutan awam itu untuk ke bandar Ulhasnagar di Maharashtra.
Pada ruangan kapsyen, Niranjan menyatakan dia menaiki kereta api agar dapat menjimatkan masa dan mengelak kesesakan lalu lintas di Mumbai.
Beliau juga menyifatkan pengembaraan kereta api itu sebagai `pengalaman yang bijak’.
“Jimat masa dan elak kesesakan trafik dengan pengangkutan utama bandar. Pejalanan dari Mumbai ke Ulhasnagar dengan koc berhawa dingin merupakan pengalaman peribadi yang bernas,” tulis Niranjan sebagai kapsyen video tersebut.
Sejak dikongsi, video perjalanan Niranjan itu mendapat lebih 22 juta tontonan dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Di ruangan komen, beberapa orang memuji hartawan itu yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam.
“Beliau seorang yang merendah diri dan itulah diri beliau yang sebenar.
“Negara ini memerlukan lebih ramai individu seperti anda @n_hiranandani. Saya berharap agar dapat bertemu dengan anda suatu hari nanti,” kata seorang pengguna media sosial.