LONDON: Hampir 30,000 pendatang dilaporkan menyeberangi selat dari Eropah ke United Kingdom (UK) dengan menaiki bot-bot kecil pada tahun lalu.
Bagaimanapun, berdasarkan data kerajaan UK, jumlah ketibaan 29,437 pendatang tanpa kebenaran di pantai tenggara England itu masih merupakan jumlah tahunan kedua terbesar sejak pegawai mula menyiarkan data itu pada tahun 2018.
Perjalanan berbahaya merentasi salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia menjadi tekanan besar buat kerajaan Konservatif Britain.
Malah, pada tahun lalu, Perdana Menteri Rishi Sunak berjanji untuk menghentikan pendatang asing yang menggunakan bot kecil untuk menyeberangi selat.
Salah satu daripada lima ikrar utama dibuat bagi tahun 2023 adalah janji mengurangkan bilangan ketibaan pendatang yang tinggi secara berterusan.
Ia boleh memberi tekanan kepada pemimpin Tory ketika berusaha memenangi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada tahun ini.
Mengulas mengenai data itu, pejabat Downing Street memaklumkan jumlah pendatang tiba dengan bot kecil di UK dari Eropah merentasi selat, menurun sebanyak 36 peratus pada tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 45,000 pendatang yang melakukan perjalanan demikian pada tahun 2022.
Pejabat itu juga memuji pelaksanaan tindakan tegas menyasarkan `geng bot kecil’, sebahagiannya melalui perjanjian kerjasama dengan Perancis bernilai 480 juta pound (RM2.8 bilion), selain perjanjian penghantaran migran dicapai dengan negara lain seperti Albania.
Jelas pejabat Downing Street, langkah itu mendorong lebih 24,000 pengusiran dan 246 tangkapan bagi kes pemerdagangan manusia pada 2023.
Menurut kerajaan, pihaknya berjaya menyelesaikan tunggakan 112,000 permohonan suaka yang dibuat sebelum 28 Jun 2022 sekaligus mengurangkan jumlah bilik hotel digunakan untuk menempatkan pelarian berkenaan.
“Saya bertekad untuk menamatkan isu penghijrahan haram di Britain.
“Oleh itu, kami mengambil beberapa tindakan termasuk menghentikan bot kecil dan menghalang mereka yang ingin ke negara ini secara haram,” kata Sunak. – AFP