BEIJING: Sekurang-kurangnya tiga orang cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 7.0 magnitud melanda sempadan China-Kyrgyzstan.
Lapor agensi berita Xinhua, pihak berkuasa tempatan menghantar pasukan kecemasan ke pusat gempa, manakala kira-kira 800 anggota bersiap sedia untuk melaksanakan sebarang misi bantuan bencana besar.
Gempa bumi kuat itu berlaku sekitar pukul 2.00 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 13 kilometer di wilayah Xinjiang, kira-kira 140 kilometer (km) barat bandar Aksu.
Xinhua melaporkan dua rumah penduduk dan reban ternakan runtuh di kawasan berhampiran pusat gempa, di luar bandar daerah Wushi.
Malah, bekalan elektrik terputus buat sementara waktu.
Berdasarkan laporan media kerajaan, tiga orang yang tinggal di daerah berhampiran mengalami kecederaan dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Video tular di media sosial China menunjukkan perkakas rumah terhempas ke lantai ketika gegaran gempa berlaku.
Beberapa lagi rakaman dikongsi penyiar stesen CCTV memaparkan anggota bomba memasuki bangunan yang rosak dengan dinding retak, serta polis membantu penduduk yang tercedera.
Saluran TV tempatan turut melaporkan gegaran kuat dirasai sehingga ke ibu negara India, New Delhi yang terletak, kira-kira 1,400 kilometer.
Seorang penduduk memberitahu agensi berita Xinhua, bahawa orang ramai bergegas keluar untuk menyelamatkan diri, walaupun suhu terlalu sejuk pada awal pagi tadi.
Menurut seorang wartawan AFP, orang ramai juga meninggalkan rumah untuk mencari perlindungan di ibu kota Bishkek, Kyrgyzstan, selepas gempa itu yang menyebabkan dinding bergegar dan pergerakan perabot.
Pihak berkuasa di Kazakhstan juga melaporkan gegaran dan tiada kematian atau kemusnahan besar disahkan setakat ini.
Rakaman yang disiarkan di media sosial dan oleh saluran berita tempatan menunjukkan orang ramai keluar mendapatkan perlindungan di Almaty, bandar terbesar di Kazakhstan.
Insiden gempa ini berlaku selepas tanah runtuh yang menyebabkan berpuluh-puluh orang tertimbus dan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban di barat daya China.
Manakala, gempa bumi pada Disember lalu, di barat laut negara itu mengorbankan 148 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di wilayah Gansu. Suhu di bawah sifar menjadikan operasi menyelamat lebih mencabar
Gempa itu adalah yang paling dahsyat di China sejak 2014, yang merekodkan lebih 600 orang terbunuh di wilayah Yunnan.- AFP