SEOUL: Korea Selatan melaporkan kejadian tsunami kecil di beberapa bahagian di Laut Timur susulan gempa bumi kuat melanda luar pantai barat Jepun.
Lapor agensi berita Yonhap, Jabatan Meteorologi Korea (KMA) memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda Ishikawa dan wilayah berdekatan mencetuskan tsunami kecil di kawasan perairan terletak di wilayah Gangwon, Korea Selatan.
Menurut jabatan meteorologi, paras ombak di bandar pantai timur Gangneung mencapai ketinggian 20 sentimeter pada pukul 6.01 petang (waktu tempatan).
“Ombak setinggi 45 sentimeter pula dilaporkan di bandar pantai Donghae pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan),” jelas KMA.
KMA mengeluarkan amaran tsunami apabila ketinggian maksimum ombak mencecah 50 sentimeter walaupun paras ombak pada 20 hingga 30 sentimeter masih boleh menyebabkan kerosakan.
Jabatan meteorologi itu juga memaklumkan ketinggian tsunami boleh melonjak ke tahap lebih berbahaya bergantung kepada pasang surut air laut dan tsunami itu boleh menjejaskan Gangwon selama lebih 24 jam.
Terdahulu, Gangwon mengeluarkan amaran tsunami menerusi mesej teks kepada penduduk yang tinggal di enam bandar dan daerah di tepi lautan.
Amaran itu antara lain turut menggesa orang ramai yang tinggal berhampiran kawasan pantai supaya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.