TOKYO: Pasukan penyelamat Jepun bergelut melawan masa dan gegaran susulan kuat untuk mengesan mangsa-mangsa yang masih hidup selepas gempa bumi besar melanda negara itu pada hari pertama tahun baharu 2O24.
Setakat ini, bencana itu menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang terkorban dan kemusnahan besar di negara itu.
Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu sehingga mencetuskan ombak tsunami setinggi lebih satu meter, selain menyebabkan bangunan runtuh, kebakaran besar dan kerosakan teruk pada jalan raya.
Ketika memasuki hari siang, skala kemusnahan di Semenanjung Noto jelas kelihatan, dengan beberapa bangunan masih terbakar, kediaman runtuh, bot nelayan karam atau terdampar dan kejadian tanah runtuh di lebuh raya.
Menurut pihak berkuasa tempatan, angka korban meningkat kepada 48 orang yang mana separuh kes kematian direkodkan di Wajima.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan meningkat lebih tinggi lagi.
Perdana Menteri Fumio Kishida mengesahkan gempa bumi itu menyebabkan kerosakan yang besar termasuk banyak kemalangan jiwa, bangunan runtuh dan kebakaran.
“Pasukan keselamatan mengejar masa untuk mencari dan menyelamatkan mangsa bencana,” katanya.
Rakaman berita dari udara menunjukkan kemusnahan akibat kebakaran besar Wajima yang mana sebuah bangunan komersial tujuh tingkat turut runtuh.
Syarikat pembekal tenaga elektrik memaklumkan kira-kira 33,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di wilayah itu yang dilanda suhu sejuk melampau.
Kebanyakan bandar juga mengalami gangguan bekalan air.
Terdahulu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memaklumkan gempa bumi itu berukuran 7.5 magnitud namun agensi meteorologi Jepun pula melaporkan pada 7.6 skala ritcher.
Malah, agensi meteorologi Jepun menyifatkan bencana itu merupakan salah satu daripada lebih 150 gempa yang menggegarkan wilayah itu hingga pagi semalam.
Beberapa gegaran kuat turut dirasai pada awal semalam termasuk gegaran berukuran 5.6 yang mendorong stesen penyiaran nasional NHK beralih kepada program khas.
Kelmarin, ombak setinggi sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda Wajima dan beberapa siri tsunami lebih kecil dilaporkan di kawasan lain.
Bagaimanapun, amaran ombak lebih besar tidak berasas memandangkan Jepun sudah menarik balik semua amaran tsunami. – AFP