TOKYO: Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda tengah Jepun pada 1 Januari lalu, kini sudah melepasi 200 orang.
Menurut pihak berkuasa, lebih 100 lagi individu masih gagal dikesan.
Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud itu meruntuhkan sejumlah besar bangunan selain menyebabkan kebakaran dan memusnahkan infrastruktur di Semenanjung Noto di pulau utama Jepun, Honshu ketika tahun baharu.
Kira-kira lapan hari kemudian, beribu-ribu anggota penyelamat bergelut dengan jalan yang rosak dan cuaca buruk untuk membersihkan serpihan.
Dilaporkan, hampir 3,500 orang masih terperangkap di kawasan terpencil.
Pihak berkuasa wilayah Ishikawa melaporkan seramai 202 orang maut dan 102 mangsa masih tidak dapat dikesan.
Keadaan salji tebal menyukarkan lagi usaha bantuan.
Sehingga semalam, hampir 30,000 orang tinggal di sekitar 400 pusat perlindungan kerajaan, malah beberapa daripadanya penuh sesak dan bergelut untuk menyediakan makanan, air dan pemanasan yang mencukupi.
Kira-kira 60,000 isi rumah terputus bekalan air dan sekurang-kurangnya 15,600 orang tidak mempunyai bekalan elektrik.
Keadaan jalan raya bertambah buruk dengan hujan berterusan menyebabkan kira-kira 1,000 kejadian tanah runtuh. – AFP