Gangguan komunikasi di Gaza berlanjutan lebih minggu

Gangguan komunikasi di Gaza berlanjutan lebih minggu

SEORANG lelaki Palestin menjana kuasa elektrik dengan panel solar untuk membantu penduduk mengecas telefon mereka di khemah sementara di Rafah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Penutupan talian komunikasi di hampir seluruh Gaza berlanjutan lebih seminggu hingga menghalang perkhidmatan kemanusiaan dan kecemasan daripada beroperasi dengan berkesan di wilayah itu.

Menurut laman pemantauan Internet Netblocks, ia adalah gangguan kesembilan seumpama sejak perang bermula.

Penutupan itu menjejaskan kedua-dua sambungan data fizikal dan tanpa wayar serta penggunaan telefon pintar mudah alih.

“Apabila pengeboman berlaku, terutamanya pada waktu malam, anda tidak dapat menghubungi ambulans.

“Jika anda mempunyai sebarang jenis kes kecemasan mengenai kesihatan, anda tidak boleh bergerak kerana ia sangat-sangat berbahaya,” kata pekerja bantuan berhampiran Khan Yunis, Jamal al Rozzi dalam mesej suara kepada CNN. 

Sesetengah wartawan dan pekerja bantuan mempunyai komunikasi terhad dengan menggunakan kad SIM antarabangsa atau elektronik berhampiran sempadan Israel atau Mesir. 

Saluran CNN turut mengalami kesukaran menjangkau kenalan tetap dan wakil di Gaza sepanjang minggu lalu.

Israel sebelum ini didakwa sengaja memutuskan talian komunikasi ketika melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza. 

Pengarah Netblocks, Alp Toker berkata, walaupun tidak dapat dipastikan punca gangguan tersebut, tanda-tanda menunjukkan kerosakan fizikal pada talian gentian yang menghubungkan Gaza ke Israel.

Menurut Oredoo, satu daripada penyedia telekomunikasi utama di Gaza, talian yang menjadi sumber utama syarikat telekomunikasi dan internet berulang kali rosak, mengakibatkan pemberhentian semua perkhidmatan di selatan dan tengah wilayah itu.

Minggu lalu, penyedia talian telefon Jawwal memaklumkan, dua pekerjanya terbunuh ketika cuba membaiki talian komunikasi di Khan Yunis apabila peluru mengenai kereta milik syarikat berkenaan.

Syarikat itu menyalahkan Israel atas serangan itu dan IDF memberitahu pihaknya menyedari dakwaan tersebut dan insiden berkenaan sedang disiasat.

“Pertubuhan kemanusiaan tidak boleh beroperasi. Sejak pagi, pasukan kami mencuba yang terbaik, walaupun menghadapi cabaran yang besar untuk menghantar beberapa bekalan ke hospital di Gaza.

“Apabila kami cuba merancang sebarang misi semasa gangguan berlaku, kami tidak boleh meramalkan kejutan atau cabaran yang mungkin dihadapi oleh pasukan dalam perjalanan mereka.

“Sukar untuk mengekalkan komunikasi masa nyata dengan pasukan. Di sinilah ia menjadi sangat berbahaya,” jelas jurucakap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Hisham Mhanna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya