NEW YORK: Putera Andrew dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton adalah antara lebih 100 individu yang dinamakan dalam dokumen undang-undang terbaharu yang dikaitkan dengan pedofilia, Jeffrey Epstein.
Pendedahan kumpulan pertama fail mahkamah itu termasuk nama mangsa dan rakan subahat pesalah seks yang juga bekas teman wanita Epstein, Ghislaine Maxwell walaupun ramai yang mengakui tidak mempunyai kaitan langsung dengan lelaki itu.
Pembiaya jutawan itu yang bergaul dengan golongan diraja dan selebriti, dituduh menjalankan rangkaian besar pelacuran gadis bawah umur.
Semasa menunggu perbicaraan, Epstein membunuh diri di sel penjaranya pada 2019.
Dokumen undang-undang berkaitan dengan tuntutan fitnah di mahkamah terhadap Maxwell pada 2015 diterbitkan di bawah perintah hakim semalam.
Dokumen terbaharu itu turut mengandungi dakwaan terhadap bekas Presiden AS, Donald Trump termasuk tuduhan beliau mempunyai hubungan seksual dengan banyak gadis muda, yang dibuat oleh salah seorang mangsa Epstein, Sarah Ransome.
Fail setebal lebih 250 muka surat itu turut mengandungi emel dari Ransome yang mendakwa melihat rakaman pita seks yang dibuat Epstein melibatkan orang ternama termasuk Clinton, Putera Andrew dan taikun Britain, Sir Richard Branson.
Dokumen mahkamah itu juga termasuk gambar yang diberikan Ransome dan seorang lagi mangsa, Virginia Giuffre kepada peguam yang didakwa menunjukkan kehadiran ramai gadis dan wanita muda di pulau peribadi Epstein di Caribbean.
Tahun lalu, Maxwell dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menjalankan skim selama bertahun-tahun dengan Epstein untuk merekrut dan mendera gadis bawah umur secara seksual.-AGENSI