Ecuador isytihar darurat, raja dadah lolos dari penjara

Ecuador isytihar darurat, raja dadah lolos dari penjara

TENTERA mengawal pusat pemeriksaan di luar penjara Turi di Cuenca, Ecuador. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Ecuador mengisytiharkan darurat selepas raja dadah paling dikehendaki melarikan diri daripada tahanan keselamatan ketat di sebuah penjara di Guayaquil.

Insiden itu turut mencetuskan keadaan huru-hara di beberapa penjara lain di negara itu.

Presiden, Daniel Noboa mengumumkan pengerahan anggota tentera dan polis selama 60 hari di sekitar jalanan dan penjara Ecuador ketika operasi memburu suspek bernama ‘Jose Adolfo Macias’ sedang dijalankan.

Adolfo Macías Villamar atau lebih dikenali sebagai Fito, merupakan  ketua kumpulan Los Choneros, gengster yang terlibat dalam beberapa rusuhan penjara yang menyebabkan kematian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Suspek itu ditempatkan di bangunan keselamatan maksimum di sebuah penjara di Guayaquil.

Noboa memaklumkan perintah berkurung turut dilaksanakan dari pukul 11.00 malam hingga 5.00 pagi (waktu tempatan) setiap hari.

Pemimpin itu menerusi rakaman video memaklumkan tempoh darurat tersebut membolehkan anggota tentera dan polis mendapat semua sokongan dari segi politik dan undang-undang yang diperlukan untuk menjalankan tugas mereka dalam memerangi narkotik.

“Negara ini tidak akan sesekali berunding dengan pengganas mahupun berehat sehingga kami mengembalikan keamanan kepada semua warga Ecuador,” tegas Noboa.

Ahad lalu, polis yang menjalankan pemeriksaan ke atas penjara di bandar pelabuhan Guayaquil mendapati Fito hilang dalam tahanan.

Menurut jurucakap presiden, Roberto Izurieta, suspek berusia 44 tahun itu dipercayai melarikan diri beberapa jam sebelum polis tiba.

Suspek itu dikatakan menimbulkan rasa takut kepada banduan lain yang berada di penjara berkenaan.

“Pasukan tentera dan polis sudah dikerahkan sepenuhnya untuk memburu individu yang sangat berbahaya ini,” kata Izurieta kepada TV tempatan.

Jelas beliau, sistem penjara gagal berfungsi sehingga boleh mengakibatkan banduan meloloskan diri.

Sementara itu, pejabat pendakwa raya memaklumkan siasatan sudah dilancarkan dan pihaknya memfailkan pertuduhan terhadap dua pegawai penjara yang didakwa terlibat dalam kes Fito. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya