QUITO: Presiden Ecuador, Daniel Noboa memaklumkan negaranya ketika ini `berperang’ dengan geng kartel dadah yang melakukan penculikan dan serangan sebagai tindak balas tindakan keras kerajaan.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah lonjakan dalam keganasan yang menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu stesen televisyen, selain kejadian letupan di beberapa bandar.
Terdahulu, Noboa menamakan 22 kumpulan penjenayah sebagai organisasi pengganas sekali gus menjadikan geng terbabit sasaran tentera.
Noboa yang memegang jawatan presiden pada November tahun lalu, berjanji untuk menangani masalah keselamatan disebabkan peningkatan kumpulan pengedar dadah yang menyeludup kokain melalui Ecuador.
“Kami berada dalam keadaan perang dan tidak boleh menyerah kalah kepada kumpulan pengganas ini,” kata Noboa kepada stesen radio Canela.
Dalam temubual tersebut, Noboa menganggarkan kira-kira 20,000 anggota kumpulan jenayah masih aktif di Ecuador.
Jalan-jalan di sekitar ibu kota Ecuador dan bandar pelabuhan Guayaquil hampir lengang berbanding hari biasa, dengan banyak premis perniagaan dan sekolah ditutup.
Krisis terbaharu bermula apabila pihak berkuasa melaporkan raja dadah paling dikehendaki, Jose Adolfo Macias atau lebih dikenali sebagai Fito melarikan diri dari penjara.
Malah, kira-kira 130 pengawal dan kakitangan penjara yang dijadikan tebusan oleh kumpulan banduan di beberapa pusat tahanan sejak Isnin lalu turut mendorong Naboa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di seluruh negara.
Pemimpin itu mengenakan tindakan keras itu selepas beberapa siri letupan berlaku di seluruh negara dan sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu stesen televisyen TC ketika siaran langsung.
Noboa menegaskan pihaknya sedang melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan pengawal dan kakitangan penjara yang dijadikan tebusan.
Sementara itu, komander angkatan tentera Jamie Vela dalam sidang akhbar mengesahkan kira-kira 329 individu yang kebanyakannya dari anggota kumpulan Los Choneros dan Los Tiguerones ditahan sejak darurat mula dilaksanakan.
“Setakat ini, tiada tebusan yang dibunuh,” kata Vela sebagai menjawab pertanyaan mengenai rakaman video tular memaparkan kakitangan penjara diseksa secara melampau termasuk ditembak dan digantung.
Kerajaan memaklumkan gelombang keganasan berlaku ketika ini adalah tindak balas terhadap rancangan Noboa untuk membina penjara baharu dilengkapi keselamatan tinggi bagi menempatkan ketua geng penjenayah.
Noboa menerusi temubual stesen radio memberitahu reka bentuk untuk dua kemudahan baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – REUTERS