PARIS: Masyarakat dunia meraikan kedatangan Tahun Baharu 2024 dengan sambutan penuh meriah selain wujud suasana suram di beberapa negara yang bergolak.
Di Sydney, Australia, negara berkenaan menyambut tahun baharu dengan pertunjukan bunga api yang menampilkan piroteknik perak dan emas untuk menandakan ulang tahun ke-50 Opera House yang ikonik.
Manakala sambutan tahun baharu di Gaza pula kekal suram, dengan sebahagian besar penduduk lebih memikirkan mengenai kelangsungan hidup mereka.
Malah, harapan penduduk Palestin bahawa 2024 akan membawa kelegaan kepada mereka, amat tipis berikutan perang Israel-Hamas masih berlanjutan di Semenanjung Gaza.
Di Eropah, Ratu Denmark, Margrethe II menggunakan ucapan tahun baharu untuk mengumumkan akan turun takhta pada 14 Januari ini selepas memerintah selama 52 tahun.
Presiden Russia, Vladimir Putin pula membuat rujukan mengenai perangnya di Ukraine dalam ucapan tahun baharu, selain memuji pasukan tenteranya sebagai pahlawan dan menekankan perpaduan dan keazaman bersama.
Korea Utara mengumumkan matlamat dasar tahun baharu antaranya mahu melancarkan tiga lagi satelit peninjau tentera, membina kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk memperkasakan keupayaan tenteranya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi ucapan disiarkan di televisyen menjelang sambutan tahun baharu menyatakan 2024 akan menjadi `tahun kebanggaan Perancis’ dengan merujuk bandaraya Paris menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas dan pembukaan semula katedral Notre-Dame selepas kebakaran dahsyat.
Rakyat New Zealand merupakan antara pertama di dunia mengalu-alukan ketibaan 2024 dengan pertunjukan bunga api di Auckland.
Rakyat di Britain, United Kingdom pula menyambut tahun baharu dengan bunyi loceng menara jam Big Ben yang terkenal, selain pertunjukan bunga api dan paparan sorotan berita memaparkan pertabalan Raja Charles.
Di New York, Amerika Syarikat, puluhan ribu penduduk berkumpul di Times Square Manhattan untuk menyaksikan bola hiasan bersalut kristal diturunkan pada malam tahun baharu selepas persembahan diadakan oleh artis terkenal termasuk Megan Thee Stallion dan LL Cool J. – REUTERS/AGENSI