Dua rakyat Malaysia di Guantanamo terlibat dalam pengeboman Bali dipenjara 23 tahun

Dua rakyat Malaysia di Guantanamo terlibat dalam pengeboman Bali dipenjara 23 tahun

NAZIR Lep (kiri) dan Farik Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORT MEADE: Dua rakyat Malaysia yang mengaku bersalah atas peranan mereka dalam pengeboman Bali 2002 dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun oleh mahkamah tentera Guantanamo.

Hukuman penjara bagi Farik Amin dan Nazir Lep, yang berada dalam kurungan bersendirian selama lebih 20 tahun sejak ditangkap di Thailand oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), akan berlangsung dari hari mereka mengaku bersalah pada 16 Januari lalu.

Fasa hukuman perbicaraan itu berlangsung selama tiga hari, dan juri lima anggota mengambil masa dua jam untuk berbincang sebelum mengesyorkan hukuman tersebut.

Menurut laporan ABC News, Farik, 48, dan Nazir, 47, hanya akan menjalani hukuman selama lima tahun mengikut klausa dalam perjanjian praperbicaraan yang kekal rahsia sehingga tamat prosiding.

Semalam, kedua-dua mereka memohon maaf kepada mahkamah di hadapan 11 daripada ahli keluarga 202 mangsa, memberi jaminan bahawa mereka menyesali perbuatan mereka dan sudah berubah selepas lama terkurung.

Mereka pertama kali didakwa pada 2021 bersama warga Indonesia, Encep Nurjaman yang dikenali sebagai Hambali, tetapi bersetuju dengan perjanjian pra-perbicaraan Disember lalu yang memerlukan mereka mengaku bersalah dan berdepan hukuman penjara antara 20 dan 25 tahun.

Perjanjian itu juga bersetuju untuk menghantar mereka pulang ke negara ketiga selepas hukuman mereka tetapi tidak menyatakan lokasi atau waktu ia akan dijalankan.

Keterangan yang diberikan oleh lelaki itu mungkin akan digunakan apabila Hambali dibicarakan di mahkamah yang sama di Teluk Guantanamo, Cuba, pada Mac tahun depan.

Terdahulu, dalam perbicaraan yang bermula pada 15 Januari, pihak pendakwaan mendedahkan Hambali adalah dalang operasi pengeboman dengan Farik dan Nazir bertindak sebagai leftenan utama yang memberikan sokongan, termasuk bertindak sebagai penghantar wang selepas melakukan perjalanan ke Afghanistan.

Menurut laporan itu, Ketua Pendakwa Raya, Kolonel George Kraehe semasa perbicaraan berkata, pada 1990-an apabila pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden mengisytiharkan perang terhadap AS dan tamadun Barat, tertuduh telah mendengar seruan Osama.

Beliau berkata, pada 2000, Farik dan Nasir mengembara ke Afghanistan di mana mereka secara sedar dan sukarela mengambil bahagian dalam pengeboman itu.

“Tertuduh mahu belas kasihan awak. Tetapi dalam mempertimbangkan permintaan tertuduh untuk belas kasihan, tanya diri anda di manakah belas kasihan mereka untuk mangsa? Tidak ada.

“Mereka harus ditunjukkan belas kasihan yang sama seperti yang ditunjukkan kepada mangsa yang mati, yang cedera dan mereka yang ditinggalkan. Tidak ada sama sekali,” katanya.

Dalam respons emel kepada FMT, peguam Nazir, Brian Bouffard berkata, beliau berbangga dengan anak guamnya yang secara jujur serta terus terang mengakui tanggungjawabnya terhadap pengeboman itu.

“Dia sudah melakukan segala yang dia mampu untuk menghormati kesedihan dan kesakitan mangsa dan untuk menunjukkan rasa kesalnya yang mendalam kerana pernah terlibat.

“Dia seorang yang aman dan mengekalkan keadaan itu selama bertahun-tahun sekarang,” kata Bouffard.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya