WASHINGTON: Kira-kira 70 peratus penduduk Palestin yang terkorban semasa perang di Gaza terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan secara purata dua ibu kehilangan nyawa hampir setiap jam sejak konflik bermula.
Justeru, agensi antarabangsa itu menggesa gencatan senjata harus dilaksanakan segera.
Jelas agensi itu, pelbagai usaha juga perlu dilaksanakan untuk memastikan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan mendapat perlindungan yang sewajarnya serta mempunyai akses selamat kepada bantuan kemanusiaan yang pantas dan tidak terhad.
Lapor Arab News, menurut Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous, sekurang-kurangnya 24,927 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak konflik meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 16,000 mangsa maut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
“Angka ini adalah tiga kali ganda daripada jumlah individu terbunuh di wilayah itu dalam tempoh 15 tahun sebelum ini.
“Kini sudah lebih 100 hari sejak pertempuran di Gaza dan bukti terus muncul bahawa wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa pertama dalam konflik berkenaan.
“Kami mengecewakan mereka. Kegagalan itu dan trauma yang menimpa rakyat Palestin sepanjang 100 hari ini dan seterusnya akan menghantui kita semua pada generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Bohous berkata, wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza menderita akibat krisis keselamatan, perubatan dan kehilangan tempat tinggal.
Katanya, golongan itu ketika ini berdepan kebuluran akibat pertempuran berterusan di wilayah itu, selain ramai sudah hilang harapan dan keyakinan terhadap keadilan.
Satu amaran dikeluarkan oleh PBB berhubung kesan krisis Gaza terhadap wanita dan kanak-kanak menyatakan majoriti mangsa terbunuh, cedera atau dipindahkan merupakan golongan wanita.
Agensi itu mendapati daripada 1.9 juta penduduk yang dipindahkan, kira-kira sejuta merupakan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Mereka terpaksa berlindung di pusat perlindungan ketika tiada sesiapa selamat di Gaza,” jelasnya.
* MESYUARAT TERGEMPAR LIGA ARAB
Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat perwakilan tetap untuk membincangkan perkembangan konflik di Gaza.
Wakil tetap Palestin di Liga Arab, Mohannad Aklouk dalam satu kenyataan memaklumkan sesi mesyuarat tergempar itu akan diadakan esok di ibu pejabatnya di Kaherah.
Katanya, permintaan untuk mengadakan mesyuarat tergempar itu dibuat oleh Palestin dan disokong oleh kebanyakan negara Arab.
Di samping membincangkan konflik Gaza, sesi itu turut menyentuh perkara mengenai keganasan Israel di seluruh Tebing Barat dan pencerobohan sistematik rejim Zionis itu terhadap infrastruktur di kem pelarian Palestin di wilayah berkenaan. – AGENSI