LONDON: Doktor hospital di England memulakan mogok paling lama dalam sejarah tujuh dekad Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS).
Doktor-doktor muda dilaporkan sudah memulakan mogok selama enam hari berikutan pertikaian tentang gaji mereka yang lama berterusan dengan kerajaan United Kingdom (UK).
Tindakan perindustrian itu dibuat ketika waktu paling sibuk tahun ini dimana NHS yang dibiayai oleh kerajaan berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada penyakit pernafasan musim sejuk.
Langkah itu juga menyusuli mogok tiga hari yang diadakan oleh kumpulan doktor sejurus sebelum Krismas.
NHS berkata, mogok terbaharu yang menyaksikan separuh daripada tenaga kerja perubatan menyertai barisan piket, akan memberi impak yang ketara kepada hampir semua penjagaan rutin kesihatan.
“Januari ini boleh menjadi salah satu permulaan paling sukar untuk tahun yang pernah dihadapi NHS,” kata Pengarah Perubatan Kebangsaan, Stephen Powis.
Mogok itu dilaporkan akan tamat pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) Selasa depan.
Persatuan Perubatan British (BMA) mengumumkan mogok itu pada Disember lalu selepas berlaku pertikaian dalam perbincangan dengan kerajaan.
Kesatuan itu berkata, doktor muda ditawarkan kenaikan tiga peratus di atas purata kenaikan 8.8 peratus yang diberikan awal tahun ini.
BMA menolak tawaran berkenaan kerana wang tunai akan dibahagikan secara tidak sekata mengikut gred yang berbeza dan masih akan dikenakan potongan gaji untuk ramai doktor.
Kumpulan doktor muda dilaporkan sudah melancarkan mogok sekurang-kurangnya tujuh kali sejak Mac lalu dengan Perdana Menteri, Rishi Sunak dan pemimpin hospital mengkritik tindakan itu.-AFP