GAZA: Tiga wanita di Gaza berkongsi pengalaman pahit melahirkan anak di kem pelarian yang serba kekurangan dengan sentiasa diselubungi rasa takut dibom rejim Zionis.
Selepas penat bergelut dengan masalah perpindahan, golongan ibu terpaksa melahirkan anak ketika jet pejuang Israel berlegar di ruang udara dan sentiasa dibelenggu ketidakpastian tentang masa depan yang akan dialami oleh bayi-bayi tidak berdosa itu.
Ketika ditemu ramah Al Jazeera, Aya Deeb duduk di sudut bilik di sekolah yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dengan bayinya, Yara, tidur di atas tempat duduk kereta yang digunakan semula.
Sebelum melahirkan Yara, Aya terpaksa berpindah beberapa kali dalam keadaan sarat.
“Pada hari-hari awal konflik, kami berpindah ke rumah bapa saudara suami saya di Zawayda. Tetapi tentera Zionis menyasarkan kediaman bersebelahan dan suami saya maut dalam serangan itu.
“Selepas itu, saya kembali ke utara untuk tinggal bersama keluarga saya dan kami terus bergerak dari satu tempat ke tempat lain sehingga kami berakhir di sekolah ini bersama beribu-ribu orang yang dipindahkan.
“Saya sangat tertekan pada bulan-bulan terakhir kehamilan saya. Terdapat begitu banyak perkara yang diperlukan oleh wanita hamil pada trimester terakhir tetapi tidak ada makanan atau air bersih yang mencukupi,” katanya.
Yara tidak mendapat sijil kelahiran dan tidak menerima sebarang vaksinasi, malah Aya juga tidak mendapat rawatan perubatan selepas bersalin.
Sementara itu, Raeda al-Masry hanya menahan kesejukan dalam balutan isdal yang sering digunakan wanita Gaza untuk memelihara kehormatan mereka sambil mengendong bayinya yang baru disususkan di kem sama.
“Blok tempat kami berlindung dibom dan saya bersama anak lelaki sulung saya berumur 14 bulan ditarik keluar dari bawah runtuhan oleh penyelamat.
“Moath dilahirkan di sini di dalam bilik darjah kira-kira dua bulan lalu. Apabila saya bersalin, penduduk di sini cuba memanggil ambulans tetapi tiada siapa yang datang untuk membantu.
“Kelahiran Moath sangat sukar. Saya tidak mempunyai sebarang pakaian. Orang ramai terpaksa mencari-cari sesuatu untuk dijadikan alas untuk meletakkan Moath,” katanya.
Raeda berkata, anaknya kini mengalami masalah kesukaran bernafas, tetapi tiada apa yang boleh dilakukannya.
“Saya juga tidak cukup makan untuk menyusukannya. Beberapa orang membantu memberikan saya susu formula untuk Moath.
“Hasrat saya hanya ingin melihat anak-anak saya dapat hidup dengan selamat dan membesar dengan makan dan pakaian yang cukup. Tiada ibu yang mahu anak membesar dalam serba kekurangan dan kedaifan sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi ibu, Um Raed merayu agar bantuan vaksinasi disalurkan seger kepada bayi-bayi baru lahir di Gaza berikutan penularan penyakit yang kian meruncing.