WASHINGTON: Maklumat komunikasi yang dikumpul oleh Amerika Syarikat (AS) mengesahkan cawangan Daesh yang berpangkalan di Afghanistan melakukan pengeboman berkembar di Iran yang mengorbankan hampir 100 orang minggu lalu.
Sumber AS berkata, perisikan itu terdiri daripada pemintas komunikasi, tanpa memberikan butiran lanjut.
Pengumpulan pintasan tidak pernah dilaporkan sebelum ini.
Daesh pada Khamis lalu mengaku bertanggungjawab atas pengeboman tersebut, mendakwa dua anggota yang memakai tali pinggang bunuh diri melancarkan serangan semasa upacara memperingati kematian komander Qassem Suleimani.
Suleimanni merupakan seorang komander kanan tentera yang dibunuh di Iraq dalam serangan dron AS pada 2020.
Kumpulan itu bagaimanapun tidak menyatakan sekutunya yang berpangkalan di Afghanistan yang dikenali sebagai ISIS-Khorasan bertanggungjawab ke atas pengeboman di bandar Kerman di tenggara Iran itu.
“AS mempunyai perisikan yang cukup jelas bahawa ISIS-K melakukan serangan itu.
“Perisikan itu jelas dan tidak dapat dipertikaikan,” jelas sumber perisikan AS.
Agensi Perisikan Pusat bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan itu.
Jumaat lalu, Iran berkata, pasukan keselamatannya berjaya menahan 11 orang yang disyaki terlibat dalam serangan itu dan merampas beberapa alat letupan serta jaket.-REUTERS