BEIJING: Sekurang-kurangnya 13 pelajar maut dalam kebakaran berlaku di sebuah asrama sekolah di wilayah Henan, tengah China.
Lapor agensi berita Xinhua, jabatan bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11 malam (waktu tempatan) mengenai kebakaran di asrama lelaki Sekolah Yingcai di Kampung Yanshanpu.
Menurut laporan, seramai 13 pelajar maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan akibat kebakaran itu.
“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian dengan cepat dan berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 11.38 malam (waktu tempatan),” jelas laporan Xinhua.
Jelas laporan, pelajar yang cedera ketika ini sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Tambah laporan, pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat punca kebakaran di asrama itu.
“Sekurang-kurangnya seorang individu yang dikaitkan dengan insiden itu sudah ditahan,” jelas laporan. – AFP