PARIS: Cef dari Perancis berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness dengan menghasilkan piza menggunakan lebih 1,000 jenis keju.
Hidangan piza pedas yang dibuat menggunakan 1,001 pelbagai jenis keju itu, mendapat gelaran `jenis keju paling banyak ditaburkan pada piza’.
Piza itu dihasilkan oleh cef Benoît Bruel dan Fabien Montellanico dengan bantuan pembuat keju, Sophie Hatat Richart-Luna serta YouTuber Florian OnAir.
Hidangan itu berjaya mengatasi rekod dipegang oleh Morgan Niquet pada tahun 2021 yang menggunakan 834 jenis keju pada piza.
Benoît sebelum ini pernah meraih rekod sama pada tahun 2020 apabila membuat piza dengan menggunakan 254 keju yang berbeza.
Dia kini meningkatkan jumlah itu hampir empat kali ganda selepas menghabiskan masa kira-kira lima bulan mengembara seluruh Perancis untuk mencari lebih banyak jenis keju.
Usaha Benoît mencipta piza unik itu membolehkannya memperoleh satu lagi rekod dalam kategori `paparan pelbagai jenis keju terbesar dunia’.
Cef berkenaan merampas gelaran dipegang oleh Philippe Marchand yang memaparkan 730 keju berbeza pada tahun 2016.