BEIJING: Syarikat BYD berjaya mengatasi Tesla sebagai pengeluar kereta elektrik terbesar di dunia pada suku akhir 2023.
Menurut data bursa saham, syarikat dari China itu mencatat jualan tertinggi kereta tahun lepas, termasuk 525,409 kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam tempoh tiga bulan hingga 31 Disember sementara Tesla mengumumkan mencapai jualan 484,507 dalam tempoh sama.
Namun, sepanjang tahun secara keseluruhan Tesla yang dimiliki Elon Musk masih mengatasi BYD selepas mencatat jualan sebanyak 1.8 juta kereta elektrik.
BYD berjaya menjual 1.57 juta kenderaan elektrik, meningkat 73 peratus pada 2022, selain 1.44 juta kenderaan hibrid.
Tetapi jumlah tersebut menyaksikan BYD berjaya merapatkan jurang jualan dengan Tesla berikutan perbandingan sekitar 400,000 unit pada tahun 2022, kepada hanya 230,000 untuk tahun 2023.
Pertumbuhan pesat BYD yang disokong oleh pelabur Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett kini dilihat sebagai simbol perkembangan pesat industri EV di China.
China kini sedang dalam fasa peralihan kepada kenderaan elektrik berikutan sokongan kerajaan yang kukuh terhadap industri itu, malah pengeluaran kenderaannya turut diperluaskan ke Eropah hingga membimbangkan saingan tradisional seperti Volkswagen dan Renault.
Beijing menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 20 peratus kereta baharu yang dijual setiap tahun di China menjelang 2025 terdiri daripada kenderaan tenaga baharu (NEV), BEV, kuasa hibrid dan kenderaan sel bahan api hidrogen.
Menjelang 2035, kerajaan berkata, NEV bakal menjadi ‘arus perdana’ penjualan kereta baharu dengan matlamat pertama berjaya dicapai pada 2022, kira-kira tiga tahun lebih awal.
Menurut data yang dikeluarkan Persatuan Pengilang Auto China, sebanyak 8.3 juta unit kenderaan tenaga baharu berjaya dijual sepanjang 11 bulan pertama tahun lalu, menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah jualan kereta negara itu.
Bekas Menteri Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, berkata, sasaran kerajaan sebanyak 50 peratus NEV untuk menembus pasaran menjelang 2035 mungkin mampu dicapai seawal 2025 atau 2026.-AGENSI