WASHINGTON: Satu kajian dijalankan oleh sekumpulan penyelidik mendakwa hampir seluruh Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) kini semakin mendap dan sedang tenggelam secara perlahan-lahan.
Penemuan mengejutkan itu dikhuatiri boleh memberi kesan kepada lebih 15 juta penduduk AS yang menetap di kebanyakan bandar di Pantai Timur AS.
Lapor Daily Mail, pasukan penyelidik dari Virginia Tech mengenal pasti ‘titik panas’ di bandar-bandar yang terdiri daripada Florida hingga New Hampshire.
Bandar berkenaan secara purata tenggelam kira-kira lima milimeter (mm) setiap tahun disebabkan pengekstrakan air bawah tanah dan berat luar biasa bangunan infrastruktur yang dibina di sekitar kawasan tersebut.
Pasukan itu mengumpulkan data dari tapak radar bagi menghasilkan peta rupa bumi digital Pantai Timur untuk menunjukkan lokasi yang boleh menimbulkan risiko terhadap infrastruktur penting.
Antara lokasi padat penduduk yang terjejas adalah New York, Long Island, Baltimore, Maryland, Virginia Beach, New Haven dan Connecticut.
Kesemua lokasi berkenaan dikatakan sedang mengalami kawasan mendapan pada kadar cepat.
Pasukan penyelidik itu turut menemukan beberapa kawasan di sepanjang pantai Atlantik yang berkeluasan lebih 3,625 kilometer persegi turut tenggelam lebih lima mm setahun.
Angka itu lebih tinggi berbanding purata kenaikan paras air laut global semasa iaitu sebanyak empat mm setahun.
Dilaporkan, pasukan penyelidik menggunakan data satelit dari tahun 2007 hingga 2020 yang dikeluarkan oleh Kajian Geologi AS.
Kumpulan penyelidik mendapati sebahagian besar Pantai Timur AS tenggelam sebanyak dua mm setahun, sekali gus memberi kesan kepada kira-kira 2.1 juta penduduk.
Sementara itu, pengarang utama dari Virginia Tech, Leonard Ohenhen memaklumkan fenomena berbahaya itu berterusan tanpa henti di Pantai Timur AS hingga mencetuskan kebimbangan.
“Ini terutamanya di kawasan mempunyai jumlah penduduk tinggi, kepadatan hartanah serta penyelenggaraan dan pengubahsuaian infrastruktur,” katanya.