WASHINGTON: Jet pejuang Amerika Syarikat (AS) menyerang beberapa tapak kumpulan Houthi buat kali keenam, sekali gus memusnahkan sejumlah pelancar peluru berpandu anti kapal di Yaman yang bersiap sedia melancarkan serangan.
Perkara itu dimaklumkan oleh dua pegawai AS yang membincangkan mengenai operasi ketenteraan yang sedang dijalankan.
Menurut pegawai berkenaan, serangan itu dilancarkan menggunakan jet pejuang F/A-18 daripada kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower.
Serangan terbaharu itu dikatakan menyerupai serangan dilancarkan AS sebelum ini menyasarkan beberapa peluru berpandu anti kapal Houthi yang berlaku hampir setiap hari pada minggu ini.
Khamis lalu, Presiden AS, Joe Biden mengakui pengeboman tapak Houthi termasuk pelbagai serangan besar-besaran dilakukan oleh tentera AS dan Britain pada 12 Januari lalu masih gagal menghentikan serangan kumpulan itu ke atas kapal-kapal dagang di Laut Merah.
Saluran berita satelit dikendalikan Houthi, Al-Masirah melaporkan beberapa serangan udara berlaku menyasarkan kejiranan al-Jabaana di bahagian barat bandar Hodieda.
Bagaimanapun, lokasi sebenar serangan udara AS itu tidak dapat disahkan.
Kumpulan Houthi disokong Iran melakukan serangan ke atas kapal komersial berkaitan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika rejim Zionis meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.
Serangan Houthi ke atas kapal berkenaan di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global.
Baru-baru ini, kerajaan AS menyenaraikan semula Houthi dalam senarai kumpulan pengganas.
Ia dilihat sebagai usaha terbaharu Washington untuk membendung serangan ke atas kapal komersial menggunakan laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah. – AP/AGENSI