WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengutuk serangan peluru berpandu balistik dilancarkan Iran berhampiran bandar Irbil di utara Iraq, menggelarnya sebagai melulu dan tidak tepat.
Pengawal Revolusi Iran mendakwa memusnahkan ibu pejabat pengintip Mossad milik Israel di Wilayah Kurdistan Iraq sebagai tindak balas terhadap kekejaman rejim Zionis.
Menurut Majlis Keselamatan Wilayah Kurdistan, empat orang terbunuh dan enam cedera dalam serangan tersebut.
Iraq mengecam serangan tersebut sebagai pencabulan kedaulatan sementara kerajaan Israel tidak mengulas mengenai tuntutan Iran itu.
Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Kurdistan berkata, pihaknya menembak jatuh tiga dron bersenjata yang terbang di atas lapangan terbang Irbil, di mana tentera AS dan antarabangsa ditempatkan.
Serangan tersebut berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu sejak perang antara Israel dan pejuang Hamas yang disokong Iran tercetus di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu.
Konflik semakin mula merebak hingga melibatkan kumpulan yang bersekutu dengan Iran yang beroperasi di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.
“Kami akan terus menilai keadaan, tetapi petunjuk awal ini adalah satu serangan yang melulu dan tidak tepat.
“AS menyokong kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah Iraq,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, Adrienne Watson dalam satu kenyataan sambil menambah tiada kakitangan atau kemudahan AS disasarkan.-AGENSI