AS kecam kenyataan menteri Israel mahu rakyat Gaza berhijrah

AS kecam kenyataan menteri Israel mahu rakyat Gaza berhijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menolak kenyataan dua menteri Israel yang mahu menganjurkan penempatan semula rakyat Palestin di luar Gaza. 

AS menyifatkan kenyataan dikeluarkan Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir sebagai retorik yang tidak bertanggungjawab. 

“Kami diberitahu berulang kali dan secara konsisten oleh kerajaan Israel, termasuk oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bahawa kenyataan sedemikian tidak mencerminkan dasar kerajaan Israel. Mereka harus berhenti dengan segera.

“Kami sangat jelas, konsisten, dan tegas bahawa Gaza adalah tanah Palestin dan akan kekal sebagai tanah rakyat Palestin, dengan Hamas tidak lagi mengawal masa depannya dan tanpa kumpulan keganasan dapat mengancam Israel.

“Itulah masa depan yang kita cari, demi kepentingan Israel dan Palestin, rantau sekitarnya dan dunia,” jelas Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller dalam satu kenyataan.

Ben-Gvir sebelum ini menggesa agar peneroka Yahudi kembali ke Gaza manakala rakyat Palestin digalakkan berhijrah.

Ketika pertemuan parti ultranasionalis Otzma Yehudit, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian ketika perang dengan tentera Hamas di Semenanjung Gaza semakin membara.

“Kita mesti mempromosikan penyelesaian untuk menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza.

“Ini adalah peluang bagi membangunkan projek menggalakkan penduduk Gaza berhijrah ke negara-negara di seluruh dunia,” katanya.

Komen Ben-Gvir itu dibuat sehari selepas Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich menggesa perkara yang sama.

Smotrich berkata, Israel mengawal wilayah itu secara ketenteraan untuk masa yang lama.

Kedua-dua Ben Gvir dan Smotrich tinggal di penempatan di Tebing Barat yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Hamas bagaimanapun menolak cadangan tersebut dan menganggap perkara itu sebagai khayalan.

Kumpulan pejuang itu dalam satu kenyataan berkata, Israel tidak akan menemui jalan untuk melaksanakannya atau berdepan dengan rakyat Palestin yang tabah dan penentangan heroik mereka.

Hamas juga mengritik kenyataan Smotrich sebagai ejekan keji dan jenayah perang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya