AS, Britain lancar serangan baharu ke atas Houthi di Yaman

AS, Britain lancar serangan baharu ke atas Houthi di Yaman

PESAWAT Typhoons FGR4 milik Tentera Udara Diraja Britain berlepas dari lapangan. - REUTERS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan siri serangan udara baharu menyasarkan beberapa tapak kumpulan Houthi di Yaman.

Lapor BBC, menurut Pentagon, serangan itu membedil lapan sasaran termasuk sebuah tapak penyimpanan bawah tanah, peluru berpandu dan keupayaan pengawasan digunakan oleh Houthi terhadap kapal di Laut Merah.

Houthi menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel dan Barat di Laut Merah, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika rejim Zionis meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.

AS dan United Kingdom (UK) pula mempertahankan serangan itu dengan menyatakan kedua-dua negara cuba melindungi `aliran perdagangan bebas’. 

Pentagon dalam satu kenyataan bersama mengesahkan serangan baharu dilancarkan ke atas kumpulan disokong Iran itu.

“Matlamat kami adalah untuk meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan di Laut Merah.

“Namun, kami juga mengulangi amaran kepada kepimpinan Houthi bahawa kami tidak akan teragak-agak mempertahankan nyawa dan aliran bebas perdagangan di laluan air paling penting di dunia ketika menghadapi ancaman berterusan,” jelas kenyataan itu.

Ia merupakan serangan kelapan dilakukan oleh tentera AS menyasarkan tapak Houthi di Yaman.

Malah, ia juga merupakan operasi bersama kedua dengan UK, selepas serangan bersama pertama dilancarkan pada 11 Januari lalu.

Berdasarkan kenyataan itu, serangan itu dilakukan dengan sokongan daripada Australia, Bahrain, Kanada, dan Belanda.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan UK memaklumkan empat pesawat Typhoons milik Tentera Udara Diraja (RAF) Britain serta dua kapal tangki Voyager, menyertai operasi AS.

“Pesawat kami menggunakan bom Paveway IV untuk menyerang pelbagai sasaran di dua tapak tentera sekitar lapangan terbang Sanaa.

“Lokasi ini digunakan untuk membolehkan serangan berterusan terhadap perkapalan antarabangsa di Laut Merah.

“Selaras dengan amalan piawaian UK, analisis yang teliti digunakan untuk merancang serangan bagi meminimumkan sebarang risiko kematian orang awam. Seperti serangan sebelum ini, pesawat kami membedil pada waktu malam untuk mengurangkan lagi risiko sedemikian,” jelas kementerian. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan UK, Grant Shapps menyifatkan serangan udara tersebut sebagai `pertahanan diri’ terhadap serangan Houthi ke atas kapal-kapal komersial.

“Serangan ini bertujuan memusnahkan keupayaan Houthi, malah tindakan ini akan memberi satu lagi tamparan ke atas stok simpanan mereka dan keupayaan mengancam perdagangan global,” katanya di aplikasi X.   

TV Al Masirah yang dikendalikan Houthi melaporkan serangan berlaku di wilayah Sanaa, Taiz dan Bayda di Yaman termasuk pangkalan udara al-Dailami berhampiran ibu negara.

Serangan Houthi ke atas kapal komersial di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global.

Sebelum ini, kerajaan AS menyenaraikan semula Houthi dalam senarai kumpulan pengganas.

Ia dilihat sebagai usaha terbaharu Washington untuk membendung serangan ke atas kapal komersial menggunakan laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya