BAITULMUQADDIS: Diplomat tertinggi Arab Saudi menegaskan kerajaannya tidak akan menormalkan hubungan dengan Israel atau menyumbang kepada pembinaan semula Gaza tanpa laluan yang boleh dipercayai ke arah penubuhan negara Palestin.
Menteri Luar, Putera Faisal Farhan Al-Saud berkata demikian menerusi temu bual dengan saluran CNN kelmarin.
Dalam temu bual tersebut, pengacara, Fareed Zakaria bertanya, jika tidak ada jalan yang boleh dipercayai dan tidak boleh diubah ke arah negara Palestin, tidak akan ada normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel.
“Itu satu-satunya cara kita akan mendapat faedah. Jadi, ya,” jawab Putera Faisal.
Terdahulu, apabila ditanya sama ada Arab Saudi akan membiayai pembinaan semula di Gaza di mana serangan Israel menyebabkan kemusnahan yang belum pernah terjadi sebelumnya, Putera Faisal memberikan jawapan yang sama.
“Selagi kita dapat mencari jalan kepada penyelesaian maka kita boleh bercakap tentang apa sahaja.
“Tetapi jika kita hanya kembali menetapkan semula status quo sebelum 7 Oktober, dengan cara yang boleh menyediakan kita untuk pusingan lain seperti sekarang ini, seperti yang sudah kami lihat pada masa lalu, maka kami tidak berminat dengan perbualan itu,” tegasnya.
Palestin mencari sebuah negara yang akan merangkumi Gaza, Tebing Barat yang diduduki Israel dan Baitulmuqaddis timur iaitu wilayah yang ditawan Israel dalam perang Timur Tengah 1967.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menghadapi tekanan berhubung nasib tebusan Israel termasuk protes kemarahan dalam mesyuarat jawatankuasa Parlimen semalam, menolak kenegaraan Palestin dan menggambarkan rancangan untuk mengawal ketenteraan terbuka ke atas Gaza.
Pertikaian mengenai masa depan Gaza turut menyebabkan Israel bertelagah dengan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa selain menjadi penghalang besar kepada sebarang rancangan untuk tadbir urus atau pembinaan semula selepas perang.
Wliayah pantai yang miskin itu menempatkan 2.3 juta rakyat Palestin namun lebih satu peratus dilaporkan terbunuh akibat perang berterusan rejim Zionis dan kumpulan pejuang Hamas.-AP