ANAMIZU: Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Jepun meningkat kepada 94 orang dengan 222 orang masih hilang sementara lebih 464 orang dilaporkan cedera.
Pasukan operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran mencari mangsa yang hilang susulan cuaca buruk dan jalan rosak.
Ribuan penyelamat dari seluruh Jepun bergelut dengan kesan gempa selepas jalan raya dipenuhi lubang besar selain kekerapan tanah runtuh yang tinggi di wilayah tengah Ishikawa.
Menurut pegawai penyelamat, dua orang wanita warga emas yang masih hidup berjaya ditarik keluar daripada runtuhan di rumah mereka di Wajima selepas 72 jam gempa berlaku.
“Harapan untuk mencari baki mangsa yang terselamat semakin pudar dengan hujan, salji serta ramalan suhu menurun dalam beberapa hari akan datang,” kata pegawai penyelamat.
Bandar pelabuhan Wajima di Semenanjung Noto adalah antara yang paling teruk dilanda bencana dengan jelaga masih di udara dan kebakaran besar yang memusnahkan ratusan infrastruktur pada hari pertama.
Pihak berkuasa berkata, seramai 222 orang tidak dapat dikesan termasuk 121 orang di Wajima dan 82 orang di Suzu.
Kira-kira 30,000 isi rumah tidak mempunyai bekalan elektrik di wilayah Ishikawa dan 89,800 rumah tidak mempunyai bekalan air dengan ratusan orang berteduh di pusat perlindungan kerajaan.- AFP