DHAKA: Sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua kanak-kanak maut dan lapan lagi cedera dalam insiden kebakaran kereta api menjelang pilihan raya umum yang diboikot parti pembangkang utama di Bangladesh.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) semalam apabila empat gerabak api Ekspres Benapole dalam perjalanan ke Dhaka, dibakar oleh penunjuk perasaan.
Pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) melakukan boikot buat kali kedua dalam tiga pilihan raya.
BNP menyifatkan pungutan suara sebagai muslihat Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina untuk menghalalkan undi palsu yang akan memihak partinya untuk empat penggal berturut-turut.
Hasina menolak tuntutan BNP untuk meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pihak berkuasa berkecuali untuk menjalankan pilihan raya.
Pemimpin itu menuduh parti pembangkang tersebut mencetuskan protes anti-kerajaan yang menggegarkan Dhaka sejak akhir Oktober yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut.
Bulan lalu, penunjuk perasaan membakar kereta api sehingga menyebabkan empat orang terbunuh semasa protes anti-kerajaan diadakan di seluruh negara.
Pegawai kanan BNP, Ruhul Kabir Rizvi menegaskan insiden kebakaran kereta api Benapole Express merupakan tindakan sabotaj dan kekejaman terhadap kemanusiaan.
Malah, beliau turut menyalahkan parti pemerintah atas kejadian itu.
Setakat ini, parti Liga Awami masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.
Kira-kira 800,000 anggota polis, separa tentera dan bantuan polis akan mengawal pusat pengundian.
Pegawai tentera, tentera laut dan udara juga telah ditempatkan di seluruh negara bagi mengawal keselamatan.- REUTERS