GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 24 tentera Israel terbunuh semasa pertempuran dengan pejuang Hamas di selatan Gaza, semalam.
Ia merupakan jumlah kematian terbesar tentera Israel yang direkodkan dalam tempoh sehari di enklaf itu, sejak perang dengan Hamas meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari dalam satu kenyataan disiarkan di televisyen memaklumkan seramai 21 askar maut dalam letupan.
Katanya, sebuah kereta kebal yang melindungi pasukan tentera Zionis diserang bom tangan roket RPG.
Media Israel melaporkan dua anggota tentera yang berada dalam kereta kebal itu terbunuh.
Kata Hagari, pada masa yang sama, dua bangunan dua tingkat runtuh lalu menghempap sepasukan anggota tentera susulan letupan.
Jelasnya, kebanyakan tentera Israel yang terbunuh dilaporkan berada di dalam atau berhampiran bangunan.
“Bangunan itu mungkin meletup kerana lombong yang disasarkan pasukan kami sebagai persiapan untuk merobohkannya dan infrastruktur di sekitarnya,” katanya.
Jelas beliau, semua ahli keluarga tentera yang terbunuh sudah dimaklumkan namun hanya 10 nama askar dikeluarkan setakat ini.
Tambah Hagari, seorang lagi askar cedera parah dalam kejadian letupan itu.
Rejim Zionis melancarkan pengeboman besar-besaran di Gaza sejak serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kematian penduduk Palestin di Gaza sudah melepasi 25,000 orang.
Jelas kementerian, seramai 178 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu. – CNN/REUTERS