BAITULMUQADDIS; Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diarahkan oleh tentera Israel supaya megosongkan gudang perubatan di selatan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam.
Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan tentera Zionis melancarkan lebih banyak serangan darat secara besar-besaran di selatan wilayah tersebut.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, arahan itu amat tidak wajar ketika keadaan di seluruh Gaza sudah pun amat teruk dengan semakin ramai penduduknya terkorban atau cedera.
“Kami menolak arahan Israel untuk berpindah dan akan melakukan apa sahaja bagi melindungi penduduk awam dan kemudahan awam.
“Perlindungan itu termasuklah hospital dan kemudahan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza,” katanya.
Dalam satu sidang akhbar kelmarin, Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur, Ahmed al-Mandhari berkata, peningkatan operasi tentera Israel di Gaza hanya akan menyebabkan situasi semakin teruk dan menjejaskan sistem kesihatan di wilayah itu.
“Kita sudah saksikan apa yang berlaku di utara Gaza dan cara itu tidak boleh dilakukan pula di selatan,” ujarnya.
Namun, tentera Israel menafikan mereka mengeluarkan arahan tersebut.
Jelasnya, mereka tidak pernah meminta WHO untuk berpindah atau mengosongkan gudang perubatan.
“Kami sudah jelaskan secara kenyataan dan bertulis kepada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan. Kami tidak arahkan WHO untuk melakukan tindakan itu (berpindah).
“Kami haram PBB beritahu maklumat yang sewajarnya,” tulis Kementerian Pertahanan Israel dalam platform X. – AFP