TEL AVIV: Semenanjung Gaza seharusnya diratakan sepenuhnya dan diubah menjadi ‘muzium kosong seperti kem tahanan Nazi Auschwitz di Poland’, sekali gus menyebabkan tiada seorang pun penduduk Palestin mahu tinggal lagi di wilayah itu.
Itu adalah kenyataan biadap yang dibuat oleh Ketua Majlis Perbandaran Metula di utara Israel, David Azoulai menerusi wawancara bersama saluran Radio Israel, Radio 103FM berkata, Gaza perlu dikosongkan sepenuhnya, dari kawasan sempadan sehinggalah ke seluruh kawasan.
“Seluruh Semenanjung Gaza perlu diratakan dan dikosongkan sepenuhnya, sama seperti Auschwitz.
“Wilayah itu perlu dibiarkan menjadi muzium yang mempamerkan keupayaan dan kekuatan Israel, selain semua penduduknya tidak lagi dibenarkan tinggal di Gaza,” katanya dengan angkuh.
Seperti ludah ke langit dan mengenai muka sendiri, Azoulai menyamakan penduduk Gaza dengan pengganas dan menyatakan mereka sepatutnya dipindahkan ke kem pelarian di Lubnan.
“Semua penduduk Gaza perlu pergi ke pantai dan dari sana, kapal tentera akan membawa semua pengganas itu ke pantai Lubnan.
“Lubnan sudah pun ada kem pelarian dan itulah tempat paling sesuai untuk penduduk Gaza berpindah,” ujarnya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 19,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 50,000 orang cedera sejak 7 Oktober lalu.
Lebih 70 peratus rakyat Palestin yang terbunuh itu merupakan golongan wanita dan kanak-kanak.
HOLOCAUST KEDUA
Dalam pada itu, Azoulai turut menyifatkan serangan Hamas pada 7 oktober lalu di wilayah Israel sebagai ‘Holocaust kedua’.
“Apa yang dilakukan Hamas sama dengan Nazi dan disebabkan itu saya sifatkan mereka sedang lakukan ‘Holocaust kedua’,” jelasnya.
BIMBANG ANCAMAN HEZBOLLAH
Sementara itu, Azoulai turut memberi amaran bahawa tentera Israel perlu bertempur habis-habisan dengan Hamas jika mahu pastikan tiada ancaman dari Hezbollah.
Katanya, Hezbollah yang disokong Iran sentiasa memantau situasi di Gaza.
“Jika kita tidak berlawan habis-habisan dengan Hamas, Hezbollah akan lihat Israel sebagai lemah dan selepas itu mereka akan beri kita ancaman,” ujarnya.
TAHAN 1,000 PEJUANG
Tentera Israel mendakwa sudah menahan lebih 1,000 orang anggota pejuang Palestin dalam perang menentang Hamas di Gaza, menurut ketua tentera Israel.
Dalam ucapan kepada anggota tentera di medan perang, Ketua Staf Umum, Mejar Jeneral Herzi Halevi, berkata pejuang berkenaan ditahan selepas ‘meletakkan senjata dan mengangkat tangan’ sekali gus mengelakkan diri mereka ditembak.
“Kami mendapat banyak maklumat risikan daripada tahanan ini dan kami sudah pun menahan lebih 1,000 orang,” katanya.
Komen Halevi itu dikeluarkan sejurus selepas tragedi tiga tebusan warga Israel yang mengibarkan bendera putih dan menjerit minta diselamatkan, maut akibat tentera Israel ‘tersilap tembak’. – REUTERS