BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan lebih 1,700 rumah baharu bagi penduduk Yahudi di Baitulmaqdis, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ia dilihat sebagai strategi mengambil kesempatan ketika perang Israel-Palestin di Gaza, bagi memperluaskan lagi penempatan haram di tanah Palestin yang diduduki di timur Baitulmaqdis.
Wakil NGO Israel, Israel Peace Now, Hagit Ofran, berkata, separuh daripada ‘kejiranan baharu’ itu, yang merangkumi 1,738 unit rumah, akan berada di timur bandar itu.
“Jika bukan kerana perang (antara Israel dan Palestin), akan ada banyak isu. Ia adalah projek yang sangat bermasalah untuk kesinambungan negara Palestin antara selatan Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis,” katanya kepada AFP.
Dalam satu kenyataan, NGO itu berkata, sebahagian daripada kejiranan Lower Aqueduct terletak di seberang Garis Hijau di timur Baitulmaqdis dan separuh lagi berada dalam Garis Hijau.
“Bagaimanapun, lokasinya yang strategik antara kejiranan Givat Hamatos dan Har Homa, menjadikannya sangat bermasalah dari sudut politik,” katanya.
Garis Hijau merujuk kepada Garis Gencatan Senjata 1949 yang ditubuhkan pada akhir perang, yang menyebabkan kepada penubuhan Israel setahun sebelumnya.
Ia membahagikan bandar antara Baitulmaqdis barat yang ditadbir Israel dan Baitulmaqdis timur yang ditadbir oleh Jordan, sehingga Perang Enam Hari 1967.
Israel kemudian menduduki Baitulmaqdis timur pada 1967 dan selepas itu merampasnya dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kelmarin, Kementerian Luar Palestin, berkata Israel mengambil kesempatan ketika dunia tertumpu kepada perang di Gaza, untuk meluluskan pembinaan penempatan di Baitulmuqaddis yang diduduki.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada rancangan untuk ‘membanjiri Baitulmuqaddis dengan penempatan dan penerokaan haram Yahudi, sekali gus memisahkannya daripada persekitaran Palestin’.
Menurut NGO anti-penempatan, Ir Amin, pula kira-kira 300,000 rakyat Palestin dan 200,000 warga Israel tinggal di timur Baitulmuqaddis.
Penempatan Israel di wilayah yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun tidak pernah diendahkan regim Zionis itu kerana tindakan tidak pernah diambil terhadapnya.
Pada 2016, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menerima pakai resolusi yang mengutuk pembinaan penempatan Israel.