LOS ANGELES: Seorang juruterbang Amerika Syarikat (AS) dipenjara enam bulan selepas sengaja membuatkan pesawatnya terhempas dan merakam adegan itu demi meraih tontonan di saluran Youtube.
Trevor Jacob, 30, turut berbohong kepada penyiasat AS mengenai kejadian itu sebelum akhirnya mengaku tentang perbuatannya kepada pihak berkuasa.
Jacob didakwa menyiarkan video rakaman nahas pesawat tersebut pada Disember 2021, membayangkan ia adalah kemalangan.
Dalam rakaman berkenaan, Jacob dilihat berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan payung terjun dari pesawat sambil memegang monopod sebelum mendarat di Hutan Negara Los Padres.
Klip bertajuk I crashed my airplane itu dilaporkan meraih tiga juta tontonan di laman Youtube sebelum dipadamkan.
Dalam kenyataan rayuan, Jacob berkata, dia merakam video itu sebagai sebahagian daripada perjanjian penajaan produk.
Bekas pemain papan salji Olimpik itu mengaku bersalah awal tahun ini atas satu pertuduhan jenayah pemusnahan dan penyembunyian dengan niat untuk menghalang siasatan persekutuan.
“Jacob tidak berniat untuk sampai ke destinasinya, tetapi sebaliknya merancang untuk keluar dari pesawat semasa penerbangan dan merakam video dirinya terjun ke tanah ketika kapal terbangnya terhempas.
“Jacob kemungkinan besar melakukan kesalahan ini untuk menjana liputan media sosial dan berita untuk dirinya sendiri selain mendapatkan keuntungan kewangan,” kata pendakwa raya persekutuan di California.