LONDON: Pergaduhan meletus di luar sebuah kedai bakeri di United Kingdom (UK) selepas seorang warga emas yang menunggang skuter mobiliti mengamuk lalu merempuh seorang lelaki hanya kerana membeli pastri stik terakhir.
Lapor Daily Mail, rakaman memaparkan kejadian berlaku di bandar pelabuhan Bideford di Devon, tular dalam media sosial.
Tindakan warga emas itu dirakam oleh beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.
Pembeli bernama Oak Leigh mendakwa dia ternampak warga emas itu `melepaskan kemarahannya’ terhadap beberapa pelanggan yang berbaris di luar Country Cottage Bakery sebelum kejadian amukan itu berlaku.
“Mereka bertengkar kerana lelaki itu sudah membeli pastri terakhir dari bakeri. Warga emas itu kemudian melanggarnya.
“Malah, dia turut melepaskan kemarahannya terhadap beberapa pelanggan yang berada di sana,” katanya.
Sementara itu, pekerja di Country Cottage Bakery mengesahkan bahawa warga emas tersebut merupakan pelanggan tetap bakeri itu.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu identiti sebenar warga emas tersebut.
“Kami tidak tahu siapa warga emas itu, kadang-kala dia datang dan memesan pastri stik, hanya itu sahaja kami mengetahui mengenainya,” katanya.
Pemilik premis Heavitree mendakwa warga emas itu dikenali penduduk bandar itu kerana mempunyai personaliti Jekyll and Hyde.
“Saya kenal warga emas itu, dia mempunyai personaliti Jekyll and Hyde dan boleh berubah menjadi jahat.
“Namun, anda tidak boleh mengharapkan daripada warga tua yang menggunakan skuter mobiliti,” katanya.
Dalam video tersebut, warga emas itu dilihat memegang tongkat sambil mengawal skuter mobiliti yang ditunggang dengan sebelah tangan.
“Beberapa saat kemudian, dia menunggang dengan menghala ke arah lelaki terbabit lalu merempuhnya sehingga individu itu terjatuh atas papan tanda,” jelas laporan.