NEW YORK: Seorang pelanggan di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman selepas mendakwa salad yang dibelinya turut mengandungi ‘menu tambahan’ iaitu jari dipercayai milik pengurus restoran.
Menerusi tuntutan undang-undang dikemukakan Allison Cozzi dari Greenwich, Connecticut pada awal minggu lalu, dia menjelaskan ‘hidangan tercemar’ itu dibeli dari rantaian Chopt di Mount Kisco, New York pada 7 April lalu.
Wanita itu mendakwa dia secara tidak sengaja mengunyah cebisan jari manusia yang telah dicampur bersama salad tersebut.
“Pengurus restoran itu terpotong jari telunjuknya secara tidak sengaja ketika mencincang arugula.
“Individu itu kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital, namun arugula sudah tercemar itu tetap dijual kepada pelanggan termasuk Cozzi,” jelas kandungan surat saman itu lagi.
Cozzi menjelaskan dia turut mengalami kesan trauma seperti serangan panik, migrain, gangguan kognitif, loya, pening, sakit leher dan bahu akibat memakan salad yang tercemar.
Susulan itu, wanita tersebut menuntut sejumlah ganti rugi yang tidak dinyatakan.
Rekod Jabatan Kesihatan Daerah Westchester menunjukkan Chopt telah didenda sebanyak AS$900 (RM4,187).
Difahamkan, Chopt Creative Salad Co mempunyai lebih 70 cawangan di seluruh timur AS.