LANSING: Seorang kerani firma guaman di Michigan muntah di mahkamah selepas dia ditunjukkan gambar mengerikan yang mendakwa dia membiarkan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kebuluran hingga mati.
Lapor Daily Mail, Shanda Vander Ark, 44, dibicarakan atas tuduhan membunuh dan menyeksa Timothy Ferguson, 15, yang meninggal dunia di rumah mereka pada 6 Julai 2022.
Ketika ditemukan, remaja itu dalam keadaan kurus kering dan berat badannya hanya mencecah 31.2 kilogram (kg).
Laporan bedah siasat menunjukkan Timothy meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan hipotermia.
Pendakwa raya Matt Roberts menunjukkan beberapa gambar memaparkan mayat remaja itu kepada Shanda di mahkamah yang menyebabkan suspek mula muntah.
Dilaporkan, Timothy menghidap penyakit autisme dengan mempunyai gangguan pada pertuturan.
Shanda didakwa menyeksa Timothy dengan hanya memberi makanan roti yang disalut sos pedas, menghalangnya daripada tidur dan memaksanya kerap mandi ais sebagai hukuman.
Shanda tidak hadir ke perbicaraan pada Jumaat lalu disebabkan masalah kesihatan.
Namun, juri mendapati Shanda bersalah atas tuduhan pembunuhan tahap pertama dan penderaan kanak-kanak tahap pertama semasa ketiadaannya.
Dia akan dijatuhkan hukuman pada 29 Januari depan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.