BRUSSELS: Seorang wanita maut selepas pokok Krismas setinggi 20 meter tumbang menimpanya di pasar Krismas di Belgium pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.
Konifer besar di pasar Krismas di bandar Oudenaarde, kira-kira 50 kilometer ke barat Brussels, ditumbangkan tiupan angin kencang pada petang Khamis, lapor agensi berita Belgium Belga.
Pokok itu menimpa tiga orang, menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian akibat kecederaan serius.
Setakat ini belum jelas sama ada pokok Krismas yang besar dan dihiasi itu ditambat dengan baik supaya tidak jatuh.
Video menunjukkan pokok itu bergerak secara mendadak ditiup angin sebelum tumbang.
Media tempatan memetik Datuk Bandar Oudenaarde Marnic De Meulemeester sebagai berkata bahawa hujan lebat dan angin kencang pada tahap 6 menyebabkan pokok itu tumbang.
Tempat kejadian ditutup oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.
Penyiar VRT yang memetik saksi kejadian berkata kira-kira 20 orang mengangkat pokok itu selepas insiden dan mengeluarkan dua mangsa, manakala mangsa ketiga diselamatkan oleh pekerja kecemasan.