TAIPEI: Seorang wanita berusia 20 tahun dari Taiwan baru-baru ini menjalani pembedahan membuang lebih 300 batu karang dari buah pinggang kanannya.
Lapor Oddity Central, wanita dikenali sebagai Xiao Yu dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Tainan pada awal bulan ini selepas mengalami demam dan mengadu sakit teruk di bahagian bawah punggung.
Malah, keputusan ujian darah Xiao Yu menunjukkan kiraan sel darah putih yang luar biasa tinggi.
“Doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT) dan keputusan menunjukkan buah pinggang kanan Xiao Yu dipenuhi cecair dan banyak batu karang di dalamnya.
“Pasukan doktor memulakan prosedur dengan memberi wanita itu rawatan antibiotik untuk mengalirkan cecair dari buah pinggangnya dan melakukan pembedahan invasif minimum untuk membuang ratusan batu karang itu,” jelas laporan.
Akhirnya, pasukan doktor berjaya mengeluarkan lebih 300 batu karang berukuran kira-kira lima milimeter hingga dua sentimeter.
Berdasarkan laporan Taiwan News, kebanyakan batu karang dikeluarkan itu kelihatan seperti roti kukus kecil.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan pembentukan batu karang.
Namun, dalam kes ini, Xiao Yu tidak suka minum air putih, sebaliknya sering mengamalkan teh manis dan teh bubble.
“Ini menyebabkan dehidrasi kronik yang mana air kencing menjadi lebih pekat, mineral bergabung dan bertukar kepada kristal untuk membentuk batu,” jelas laporan.