LONDON: Seorang wanita buta terpaksa berjalan sejauh 1.6 kilometer (km) menyusuri jalan desa yang gelap untuk pulang ke rumahnya.
Pekerja Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), Simone Woods menggunakan jalan gelap itu selepas mendakwa ditinggalkan oleh pemandu bas di tepi jalan.
Lapor Daily Mail, Woods berada bersama anjing peliharaannya bernama Mervin ketika pemandu bas nombor 350 di North Lincolnshire didakwa menurunkannya di sebuah jalan desa yang gelap tanpa laluan pejalan kaki.
Ketika kejadian, wanita berusia 51 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya terletak di Winteringham selepas habis bertugas syif malam di Hospital Besar Scunthorpe.
Woods mengakui menangis ketakutan ketika ditinggalkan di laluan gelap, malah dia terpaksa berjalan mengelak beberapa kereta melalui jalan itu pada kelajuan 96.5 kilometer sejam (km/j).
“Saya masih ingat situasi itu, ia sangat menakutkan.
“Saya terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit untuk anjing saya agar boleh memimpin saya ketika berjalan tetapi Mervin agak tertekan juga.
“Berlinang air mata saya selepas kami sampai ke rumah,” katanya kepada Hull Live.
Sementara itu, syarikat bas Stagecoach tampil memohon maaf kepada Woods kerana tindakan salah seorang pemandu yang menurunkannya.
Jelas syarikat, keputusan untuk menurunkan Woods disebabkan kerja-kerja jalan sedang dilakukan pada ketika itu sehingga menyebabkan Jalan Winterton ditutup.